suria

Malaysia 'Peneraju Pemikiran' Membangunkan Kewangan Islam - Clinton

KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat sebagai "peneraju pemikiran" terutamanya dalam kreativitinya untuk memajukan kewangan Islam sehingga menjadi suatu pengaruh yang besar, oleh itu berupaya berfikir di luar kelaziman, kata Hillary Rodham Clinton, Selasa.

"Berdasarkan pemerhatian dan perbincangan saya dengan para pegawai dan warga Malaysia, kewangan Islam mempunyai pengaruh yang sangat besar di Malaysia, ia adalah satu pendekatan yang sangat kreatif," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu. Justeru, penduduk Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi kreatif, untuk berfikir di luar kelaziman dan menghasilkan cara untuk menangani masalah yang dapat menarik perhatian dunia kepada mereka, katanya.

"...dan saya mengharapkan dapat menjalin kerjasama selanjutnya untuk menangani isu bersama," katanya ketika menjawab soalan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad (Media Prima) Datuk Ahmad A. Talib mengenai bagaimana Malaysia selaku peneraju pemikiran dapat bergerak ke arah mewujudkan pesefahaman bersama antara Barat dan negara-negara Islam.

Ahmad adalah seorang daripada perantara dalam majlis "Perbincangan Bersama Setiausaha Negara AS" di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (Istac) di sini.

Program selama sejam itu turut disertai personaliti TV3 Norzie Pak Wan Chek selaku perantara dan dihadiri oleh kira-kira 500 pelajar universiti serta kolej, selain wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO). Clinton berkata adalah penting bagi umat Islam dan Kristian untuk mempelajari mengenai satu sama lain dan saling memahami dengan lebih baik lagi.

"Saya harap tiada sebarang konflik antara Islam dan Barat," katanya, sambil menambah Amerika Syarikat dan Dunia Islam perlu berusaha lebih gigih untuk mendekati satu sama lain dengan mengadakan lebih banyak pertukaran dan persefahaman. Beliau berkata: "Agama mempunyai banyak wajah yang berbeza, sekali pun dalam anutan seseorang itu sendiri. Dalam Kristian, terdapat banyak perbezaan bagi penganutnya. Dalam agama saya dan mana-mana agama di dunia, terdapat mereka yang menggunakan agama bagi tujuan lain.

"Mereka menggunakan agama untuk menghasilkan ideologi, mereka menggunakan agama bagi kuasa peribadi. Saya melihatnya daripada sejarah.

"Jadi saya berpendapat adalah penting untuk Islam dan Kristian menjelaskan bahawa masalah wujud dalam mana-mana agama, lebih-lebih lagi oleh mereka yang menggunakan agama untuk tujuan ekstremis yang memberi gambaran buruk kepada agama berkenaan." Clinton berkata "lebih banyak perubahan, pendidikan dan pemahaman" diperlukan untuk menangani masalah ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain