suria

Kerajaan Negeri Dilanda Banjir Harus Lebih Proaktif Bantu Mangsa - Shahrizat

ALOR SETAR: Kerajaan negeri-negeri yang dilanda banjir terutama Kedah, diminta lebih proaktif dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan pusat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia termasuk membantu agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan penyaluran bantuan.

"Dalam pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Kedah terutama makanan, kita (JKM) menghadapi masalah untuk menghantarnya kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

"Dalam hal ini kerajaan negeri sepatutnya membantu kita menyediakan pengangkutan yang membolehkan kita masuk ke kawasan itu. Makanan cukup tetapi nak bawa masuk susah," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus, dekat sini pada Rabu.

Katanya kerajaan negeri juga perlu lebih bertanggungjawab dalam meningkatkan usaha membantu kerajaan pusat menangani masalah yang dihadapi mangsa banjir.

"Kerajaan negeri jangan lembab sangat. Kerajaan negeri kena cekap. Kita (Kerajaan Pusat) dah buat kerja kita. Dalam hal ini Kedah paling ramai mangsa banjir berbanding negeri-negeri lain. Mangsa ramai sangat. Jangan sambil lewa," katanya.

Beliau juga berharap Kementerian Kesihatan menerusi Jabatan Kesihatan negeri menghantar sekurang-kurangnya dua orang doktor setiap hari ke pusat pemindahan banjir bagi mencegah penularan penyakit.

Shahrizat berkata sehingga pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 172 buah pusat pemindahan dibuka di Kedah, Perlis dan Kelantan melibatkan 34,775 mangsa.

"Negeri Kedah adalah negeri yang paling teruk dengan 122 pusat pemindahan melibatkan 25,923 mangsa manakala bagi Perlis sebanyak 47 pusat pemindahan masih beroperasi dengan 8,463 mangsa.

"Bagi Kelantan, hanya tiga pusat pemindahan dibuka melibatkan 389 mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata usaha pemindahan mangsa banjir juga berjalan lancar berikutan persediaan dibuat sejak awal lagi dan JKM juga telah mengenal pasti 5,124 pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh menampung 1.34 juta mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain