suria

Kakak Tahanan Polis Mati Fail Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Kakak kepada R. Gunasegaran, seorang pekerja kedai minuman keras yang didakwa mati semasa ditahan polis memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Koroner di sini, yang membuat keputusan terbuka dalam prosiding inkues kematian itu.

R. Gangagowri memfailkan permohonan itu pada pukul 4 petang Rabu, di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam M.Visvanathan.

Visvanathan semasa ditemui berkata, semakan itu difailkan selepas keluarga si mati tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Koroner Siti Shakirah Mohtarudin pada 25 Oktober lalu.

“Permohonan ini difailkan kerana terdapat banyak kepincangan dalam keputusan tersebut.

“Contohnya, mahkamah memutuskan ada laporan mengenai kematian secara mengejut, sedangkan pada hakikatnya sehingga kini polis tidak membuat laporan tentang kematian si mati.” katanya.

Visvanathan juga berharap mahkamah akan memberikan tarikh awal untuk pendengaran semakan tersebut.

Turut hadir ialah Gangagowri dan suami, S. Marathaveeran.

Sebelum ini, Siti Shakirah memberikan keputusan terbuka dalam prosiding inkues terhadap Gunasegaran selepas mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikhendaki untuk merekodkan keputusan.

Beliau yang mendengar keterangan 23 saksi inkues berkata, terdapat dua versi mengenai kematian Gunasegaran, yang mati antara pukul 6.45 dan 7.20 petang, 16 Julai 2009 dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas jatuh di Balai Polis Sentul semasa proses pengambilan cap jari.

Dua versi itu adalah sama ada kematian itu berpunca dan berkaitan dengan pengambilan dadah atau akibat dipukul dan ditendang oleh polis yang membuat tangkapan.

Justeru itu, Siti Shakirah mendapati salah satu daripada dua punca tersebut telah menyebabkan kematian si mati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain