suria

Glam Gala Buka Tirai MIFW 2010

KUALA LUMPUR: Malam Gala Glam membuka tirai Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2010 anjuran Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) dengan kerjasama majalah Glam bertempat di lokasi rasmi, pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur di Jalan Bukit Bintang di sini, malam Selasa.

Pereka fesyen tersohor tanah air, Datuk Tom Abang Saufi dan Michael Ong mendahului senarai para pereka fesyen yang bakal mempersembahkan koleksi terbaru masing-masing di pentas peragaan menerusi acara fesyen paling gilang-gemilang tahun ini.

Terkenal dengan genre batik Sarawak, Tom memperlihatkan rekaan gaun koktel pendek yang bijak digabungkan dengan sutera sifon tanpa mengabaikan ketelitian corak pada busana.

Beliau juga tidak lupa dengan koleksi kaftan moden yang lebih praktikal dan bergaya dengan pilihan rona lembut seperti campuran kuning terang, hijau dan jingga.

Sementara Ong yang muncul di akhir acara memberi kejutan istimewa dengan koleksi fabrik songket kontemporari yang ditampilkan menerusi gaun kembang pendek, dres koktel dan korset.

Beliau berjaya membawakan gaya klasik dengan keanggunan chic menerusi rekaan terbarunya.

Terdahulu, penaja aksesori rasmi MIFW 2010, Tiffany & Co memulakan persembahan dengan menampilkan koleksi cincin, gelang dan rantai mewah yang dipadankan bersama himpunan musim luruh dan sejuk terkini dari Max Mara.

Ung Yiu Lin, pereka muda berbakat kemudiannya membawakan hasil rekaan beg kepit dan satchel terbarunya yang mewah dengan tekstur bermotifkan kulit buaya, ular dan burung unta bersama gabungan rona oriental asli.

Paling menarik adalah persembahan fesyen Jendela KL hasil rekaan Faizal Abdullah dengan siri koleksi berasaskan fabrik kapas untuk gaya moden dan mudah dipakai.

Turut muncul di pentas selain pereka fesyen Sasha Rowena adalah Editor Glam, Wirda Adnan yang menggayakan busana organza bersulam halus berwarna biru kobalt.

Pada Rabu, acara MIFW 2010 diteruskan dengan Festival Fesyen Islam (IFF) Beauty In Modesty menampilkan pereka fesyen Indonesia seperti Itang Yunasz, Ghea Pangabbhean selain pereka tempatan seperti Amir Luqman, Melinda Looi dan Radzuan Radziwill.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain