suria

Curi Air: Syarikat Pemaju Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, memerintahkan sebuah syarikat pemaju untuk membayar denda RM3,000 kerana mencuri air yang didakwa berlaku pada 29 April 2008.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas menerima pengaku salah APG Geo Systems Sdn Bhd yang dibuat menerusi pengarahnya, Tham Kok Wah.

Pendakwaan terhadap syarikat itu dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, V. Kirupakaran mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tham memohon hukuman ke atas syarikat dikurangkan kerana mendakwa ia adalah kali pertama kesalahan seumpamanya dilakukan.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syabas, operasi terhadap syarikat itu dijalankan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 18 Jun 2008.

Pemeriksaan mendapati, syarikat itu membuat penyambungan dan mengambil air secara haram daripada 27 blok perumahan dan empat kedai yang menyebabkan Syabas menanggung kerugian RM107,030.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain