suria

BN Sedia Menentang Dengan Sesiapa Pun Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

KUALA LUMPUR:Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) bersedia bertanding menentang sesiapa pun pada pilihan raya umum akan datang dan bukan diancam dengan perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah demokrasi. Biarlah parti yang paling baik dipilih oleh rakyat membentuk kerajaan," kata Perdana Menteri yang juga pengerusi BN.

Beliau berkata demikian pada rakaman temu bual program CNN, TalkAsia yang disiarkan di sini malam tadi, apabila ditanya oleh hos Anna Coren sama ada bekas timbalan perdana menteri itu akan menjadi ancaman kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Najib juga membidas dakwaan bahawa perbicaraan itu bermotifkan politik untuk menafikan Anwar daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan pada tahun depan.

"Inilah apa yang beliau suka cakap, tetapi pada hakikatnya ia tidak menyokongnya. Kerajaan tidak akan mendakwa beliau jika tidak ada aduan dibuat oleh bekas pembantunya (Mohd Saiful Bukhari Azlan). Pada mulanya kita tidak mahu mendakwa beliau.

"Ini bukan satu pilihan dan kita tidak rancang untuk ini. Kebetulan ini berlaku bahawa bekas kakitangannya sendiri buat aduan jenayah terhadap beliau. Kita hanya mulakan dari situ," katanya.

Beliau berkata parti campuran yang memerintah akan menerangkan bahawa perbicaraan itu semata-mata perkara peribadi dan ia tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Sementara itu, Najib juga berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun negarawan itu kadang-kadang mengkritik kuat mengenai dasar-dasarnya.

"Dr Mahathir mempunyai minda dan pandangan yang kuat. Saya tidak harap beliau akan bersama saya dalam setiap isu. Tetapi apa yang paling penting ialah beliau menyokong kerajaan, menyokong kepimpinan saya," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain