suria

Polis Terima Lima Laporan Sepanjang Kempen Di Batu Sapi

SANDAKAN: Polis menerima lima laporan sepanjang kempen dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi sejak hari penamaan calon pada 26 September lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ia bagaimanapun tidak menjejaskan proses pilihan raya kecil itu kerana polis memantau ketat perkara membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya lima laporan polis yang dibuat itu membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 341 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

"Kita sudah mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat itu dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini Selasa.

Terdahulu beliau mendengar taklimat keselamatan pilihan raya kecil Batu Sapi yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim dan meninjau pusat mengundi di kawasan Sekong dan Karamunting menggunakan helikopter.

Ismail berkata beliau berpuas hati dengan kawalan keselamatan sepanjang kempen dan persiapan untuk menghadapi hari mengundi pada Khamis ini.

Katanya jumlah anggota dan logistik yang digunakan adalah mencukupi bagi menjalankan tugas memantau keselamatan dan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan pilihan raya kecil ini.

Pilihan raya kecil itu melibatkan Datin Linda Tsen Thau Lin dari Barisan Nasional, Datuk Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah) dan Ansari Abdullah (Parti Keadilan Rakyat). -BERNAMA

Artikel Lain