suria

Pengundi Batu Sapi Diminta Pilih Calon BN Demi Pembangunan Dan Perpaduan

SANDAKAN: Penduduk kawasan Parlimen Batu Sapi yang akan mengundi dalam satu pilihan raya kecil Khamis ini, dinasihatkan supaya memilih calon Barisan Nasional Datin Linda Tsen Thau Lin yang mampu meneruskan agenda memajukan negara dan yang dapat mengekalkan hubungan baik dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat berkata tidak ada sebab kenapa rakyat tidak mahu menyokong dasar-dasar pembangunan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional.

Beliau berkata asas kejayaan BN mengekalkan keamanan dan kemajuan negara adalah hasil sokongan padu rakyat yang memberi keyakinan kepada kerajaan untuk melaksanakan segala dasar dengan mudah.

"Hanya BN boleh merubah taraf hidup rakyat, hanya BN mampu membawa prasarana, kemudahan asas dan melahirkan modal insan dan negara Malaysia telah diberi pengikitrafan kerana dasar-dasar pendidikan dan pemerintahan yang paling lama," katanya ketika ditemui di Kampung Segaliud, Sekong dekat sini, Selasa.

Hamisa berkata pilihan raya kecil itu merupakan peluang terbaik bagi rakyat memberikan sokongan padu kepada calon BN agar bakal wakil rakyat mereka nanti dapat membantu mengukuhkan perancangan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat untuk terus memajukan Sandakan.

Dalam pilihan raya kecil itu, Tsen berdepan calon Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat Ansari Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain