suria

Pengetua Perlu Berubah Daripada Pengurus Rutin Kepada Pengurus Pemimpin - Muhyiddin

GENTING HIGHLANDS: Kepimpinan pengetua sekolah perlu berubah daripada Pengurus Rutin kepada Pengurus Pemimpin supaya keberkesanan tadbir urus sekolah dapat terus dipertingkatkan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata budaya kerja yang cemerlang seharusnya menjadi indikator penting atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang pengetua supaya sekolah yang dipimpin mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Oleh itu, budaya kreatif dan inovatif, berintegriti tinggi, semangat kerja berpasukan dan komitmen yang tinggi adalah nilai yang perlu dipupuk di setiap peringkat sekolah yang dipimpin.

"Sebagai pemimpin dan pengurus pendidikan, pengetua juga mestilah memainkan peranan sebagai ejen sosialisasi dan murabbi yang unggul dan berkesan supaya nilai-nilai murni dapat diterapkan dalam diri anak-anak yang merupakan pemimpin generasi masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Ketiga di Institut Aminuddin Baki, di sini malam Selasa.

Persidangan tiga hari bermula Isnin anjuran Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) itu dihadiri 300 pengetua dari seluruh negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh pengetuanya yang dilihat dari dua dimensi iaitu dimensi pentadbiran dan pengurusan, dan dimensi kepimpinan pengajaran.

"Dalam konteks ini, dimensi terpenting yang perlu dimainkan oleh pengetua adalah dimensi kepimpinan pengajaran terutama dalam mencorakkan iklim dan budaya pengajaran dan pembelajaran.

"Dalam dimensi ini pengetua berperanan memberi kepimpinan, galakan dan sokongan kepada guru dan murid di samping mewujudkan keadaan persekitaran yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Muhyiddin berkata selain melibatkan guru dalam pelbagai aktiviti pendidikan, pengetua hendaklah menyampaikan maklumat yang cukup dan tepat, menerima pandangan secara terbuka dan menghargai sumbangan guru dan kakitangan di bawah pimpinannya.

"Kepimpinan pengajaran yang diamalkan oleh pengetua bukan sahaja boleh menentukan pencapaian matlamat sesebuah sekolah tetapi juga boleh memberi kesan kepada keseluruhan individu yang berada dalam organisasi tersebut.

"Namun demikian, dimensi pentadbiran dan pengurusan tidak harus disisihkan kerana kedua-dua saling berkaitan bagi memastikan keberkesanan proses pembangunan modal insan dapat dicapai," katanya.

Dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, Muhyiddin berkata kepimpinan pendidikan perlu menekankan tentang pentingnya membina semula dan membuat penyesuaian terhadap perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Justeru, beliau berkata kepimpinan pendidikan perlu mempunyai kecenderungan untuk membawa perubahan sosial yang membina, mengenal pasti kelemahan-kelemahan kontroversi dan konflik, dan seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu dan permasalahan yang wujud. "Proses melengkapkan dan memperbaiki potensi dan kemenjadian murid perlu dilakukan sepanjang masa di sekolah. Dalam konteks ini, aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan adalah menjadi agenda utama bagi setiap pimpinan sekolah.

"Jika tidak diberikan perhatian bersungguh-sungguh terhadap aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, maka masalah keciciran akademik dan moral dalam kalangan pelajar tidak akan dapat diatasi dan secara tidak langsung boleh mencetuskan masalah sosial dalam masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain