suria

Pelajar Lemas Terjatuh Ketika Memancing

PADANG TERAP: Seorang pelajar tingkatan satu mati lemas selepas terjatuh semasa dia sedang memancing di sebuah sawah yang ditenggelami air di Kampung Charok Bongor di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Ahmad berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang semasa Mohd Zaki Amani Shaari, 13, sedang memancing bersama abangnya. "Keadaan sawah yang ditenggelami air lebih lima meter menyebabkan Mohd Zaki tidak dapat diselamatkan oleh abangnya selepas dia tergelincir," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata mayat Mohd Zaki dijumpai oleh orang kampung kira-kira pukul 6.20 petang semasa warisnya sedang membuat laporan mengenai kejadian itu di balai polis.

"Mayat Mohd Zaki ditemui oleh orang kampung berhampiran tempat dia jatuh," katanya dan menambah mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain