suria

N45 Galas: Calon BN Dekati Pengundi Muda Guna Facebook

GUA MUSANG: Walaupun sibuk memenuhi jadual padat sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff masih sempat berhubung dengan pengundi muda menggunakan laman sosial, Facebook.

Ab Aziz berkata, beliau akan meluangkan masa berinteraksi dengan rakan Facebook-nya jika ada masa terluang di antara tempoh berkempen selagi ada jaringan Internet.

"Saya akan bawa komputer riba dan boradband ke mana sahaja. Bagi saya adalah sangat penting untuk mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan dalam talian khusunya generasi muda," katanya ketika ditemui semasa berkempen di sekitar Bandar Lama, di sini, Selasa.

Menurut Ab Aziz, hingga kini beliau mempunyai seramai 551 rakan dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah dua kali ganda dalam masa terdekat.

Katanya lagi, kebanyakkan masa terluangnya ketika berkempen akan digunakan untuk melayari laman sosial berkenaan bagi mendapatkan maklum balas yang dibangkitkan khususnya yang berkaitan dengan kepentingan dan keperluan masyarakat di Galas.

"Ada juga sesetengah rakan saya menyatakan bahawa mereka terkejut apabila saya diumumkan sebagai calon.

"Bagaimanapun mereka memberi sokongan dan galakan dan menyatakan harapan agar saya memenangi pilihan raya kecil ini," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kritikan pihak tertentu mengenai kempen jentera BN yang dilihat tidak agresif berbanding pada pilihan raya kecil Manek Urai, Ab Aziz berkata, BN menggunakan pendekatan yang berbeza sepanjang kempen kali ini.

"Kami lebih senang menggunakan pendekatan bersua muka berbanding ceramah besar-besaran.

Hingga kini kami yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi," katanya.

Artikel Lain