suria

N45 Galas: BN, PAS Sama Kuat

GUA MUSANG: Tinggal kurang 48 jam sebelum hari pengundian, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah masih meletakkan peluang menang-menang sama ada bagi partinya mahupun PAS.

Bagaimanapun beliau tetap meletakkan keyakinan bahawa masyarakat di Galas akan memberi kepercayaan kepada calon BN, Ab Aziz Yusoff yang akan diterjemahkan dalam bentuk undi.

"Buat masa ini situasinya 50-50, dia menang, kita pun menang... cuma kita nak angkat bendera," katanya ketika ditemui mStar Online di bilik gerakan BN di Bukit Cekati, di sini, Selasa.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, BN perlu meningkatkan usaha menjelang saat-saat akhir sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam esok.

Malah jelasnya jentera parti juga perlu lebih berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya 'serangan' daripada PAS.

Malah beliau berkata tiada sebarang strategi luar biasa yang akan digunakan BN melainkan meneruskan usaha untuk bersemuka dengan lebih ramai pengundi.

"Nampak elok, cuma malam ini dan esok kita kena berjaga-jaga PAS selalu nak serang kita, kita kena berjaga-jaga.

"Kita akan tingkatkan usaha yang patut kita lakukan, itu yang akan kita buat...tak ada luar biasa," katanya.

Diminta mengulas mengenai implikasi terhadap BN dan Umno pada pilihan raya kecil ini, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata:

"Kalau menang bererti orang Melayu sekarang ini, memihak kepada perjuangan yang dibawa oleh BN yang didokong oleh Umno.

"Itu mesej yang dapat disampaikan di seluruh negara dan kalau (BN) kalah, bererti pengundi di sini masih tak faham tentang perjuangan parti ini."

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai dakwaan PAS bahawa beliau cuba membeli undi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN, Tengku Razaleigh menafikan perkara itu.

Katanya sekiranya beliau membeli undi, sudah pasti BN mampu mencapai kemenangan mudah pada pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil yang lalu.

"Kalau saya beli undi saya sudah menang seluruh Kelantan. Malah di Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang juga kita boleh menang. Dan mengapa Galas boleh kalah (2008).

"Ini tak ada logik, tak ada modal, mengapa nak tuduh saya. Saya tak ada duit, tadi pun saya ingatkan kepada jentera agar makanan pada hari mengundi pun tak boleh diberikan kepada pengundi kerana takut melanggar undang-undang pilihan raya, sampai begitu sekali kita cermat," katanya. --

Artikel Lain