suria

Kenapa Menteri Luar Amerika Digelar Setiausaha Negara...

BUNYINYA agak pelik tetapi semalam (Isnin, 1 Nov) ada orang bertanya penulis, kenapa isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia menyandang jawatan setiausaha negara seperti Tan Sri Sidek Hassan, ketua setiausaha negara kita.

Pada mulanya penulis menyangkakan dia bergurau tetapi tidak lama kemudian penulis menyedari dia memang benar-benar tidak tahu dan soalannya itu lahir dari perasaan ingin tahu selepas dia membaca berita tersebut.

Ini dengan sendirinya membuktikan, tidak semua orang tahu atau dapat membezakan antara jawatan setiausaha negara Amerika dan ketua setiausaha negara kita. Tidak semua orang arif tentang hal ini.

Oleh yang demikian, penulis berasa bertanggungjawab untuk mengambil peluang di ruangan ini untuk menjelaskannya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton yang tiba di Terminal Skypark Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Lumpur malam Isnin untuk lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari, adalah seorang menteri luar bukanlah ketua pentadbir perkhidmatan awam sepertimana Tan Sri Sidek Hassan.

Kenapa jawatannya itu tidak dinamakan setiausaha luar negara Amerika atau menteri luar sahaja? Sejarahnya agak panjang tetapi biar penulis ringkaskan. Asalnya ia memang dipanggil setiausaha luar negara.

Jawatan ini diwujudkan pada 10 Januari 1781 iaitu setahun selepas Kerajaan Amerika mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Luar dan terus kekal seperti itu sehingga 15 September 1789 apabila Presiden Amerika yang pertama George Washington menandatangani satu undang-undang untuk menukar nama jabatan ini daripada Jabatan Hal Ehwal Luar Negara kepada Jabatan Hal Ehwal Negara.

Tujuannya adalah untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada jabatan itu mengendalikan beberapa urusan dan tanggungjawab domestik negara selain menguruskan hal ehwal diplomatik dan luar negara berkenaan.

Asalnya beberapa urusan domestik yang diletakkan di bawah tanggungjawab jabatan ini adalah seperti mengumpul, menerbitkan, mengedar dan memulihara undang-undang negara. Ia juga bertanggungjawab menyediakan dan merekodkan sebarang pelantikan yang dibuat oleh presiden negara itu. Jabatan berkenaan juga turut bertanggungjawab mengendalikan dan mengesahkan sebarang salinan rekod dan kesahihan dokumen di bawah jabatan berkenaan.

Dan yang paling dianggap terhormat ialah Jabatan Hal Ehwal Negara Amerika dipertanggungjawabkan sebagai penjaga jata atau lambang kebesaran negara iaitu the Great Seal of the United States.

Hari ini sebahagian besar daripada tanggungjawab domestik jabatan tersebut telah dipindahkan ke jabatan-jabatan lain yang dibentuk selepas negara itu mencapai kemerdekaan daripada Great Britain.

Namun tanggungjawab domestik yang masih dikekalkan di bawah seliaan jabatan ini ialah tanggungjawab memelihara jata negara, fungsi-fungsi protokol untuk kediaman rasmi dan pejabat rasmi presiden iaitu the White House, menderaf beberapa pengisytiharan negara serta mengendalikan urusan ekstradiksi di antara negeri-negeri dalam Amerika dengan negara luar.

Dalam konteks hari ini, setiausaha negara Amerika bukan sahaja ketua delegasi Amerika dalam sebarang urusan yang berkaitan dengan dunia luar tetapi juga merupakan penasihat presiden dalam hal ehwal luar negara.

Penyandang jawatan ini adalah anggota kabinet kerajaan persekutuan dan dari segi hirarki berkedudukan paling kanan dalam kabinet dan dari segi pewarisan takhta kerajaan, penyandangnya berada di barisan keempat untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara seandainya sesuatu terjadi ke atas presiden selepas naib presiden dan speaker dewan perwakilan rakyat (dalam konteks kita Dewan Rakyat).

Betapa berkuasa dan pentingnya kedudukan setiausaha negara Amerika ini dapat dilihat melalui peruntukkan undang-undang negara itu yang menyediakan satu klausa yang menyebut, peletakkan jawatan seorang presiden atau naib presiden negara itu hanya dapat disahkan atau dilaksanakan dengan mengisytiharkan peletakkan jawatan mereka dalam bentuk pernyataan bertulis kepada pejabat setiausaha negara.

Perkara ini pernah berlaku pada 9 Ogos 1974 iaitu apabila Presiden Richard Nixon meletakkan jawatannya dengan memaklumkan keputusannya itu secara bertulis kepada Setiausaha Negara, Henry A. Kissinger.

Amerika adalah satu-satunya negara di dunia ini yang memberikan kuasa yang sebegitu rupa kepada seorang menteri luarnya. Ini adalah kerana, sebarang polisi dalamannya akan memberi kesan kepada hubungannya dengan dunia luar.

Hillary Rodham Clinton, adalah setiausaha negara Amerika yang ke-67 dan wanita ketiga yang pernah menyandang jawatan ini.

Artikel Lain