suria

Dua Perkhidmatan Tren Penumpang Ke Utara Dibatal Akibat Banjir

KUALA LUMPUR: Dua perkhidmatan tren penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) ke utara dibatalkan manakala satu lagi dijadual semula hari ini berikutan kawasan landasan Arau-Tunjang terpaksa ditutup setelah dinaiki air.

Perkhidmatan tren yang dibatalkan ialah Ekspres Antarabangsa Bangkok- Butterworth-Bangkok dan Ekspres Senandung Langkawi Hatyai-Kuala Lumpur, kata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan di sini, Selasa.

Kenyataan itu berkata bagaimanapun penumpang ekspres Senandung Langkawi dari Stesen Bukit Mertajam dan mana-mana stesen selepasnya yang menuju ke Kuala Lumpur boleh menaiki tren Ekspres Senanjung Mutiara yang berlepas pada pukul 11 malam di Stesen Bukit Mertajam.

Perkhidmatan yang dijadual semula pula ialah Ekspres Senandung Langkawi Kuala Lumpur-Hatyai.

Tren itu hanya akan meneruskan perjalanan hingga ke Stesen Butterworth dan penumpang boleh menggunakan pengangkutan alternatif seperti bas dan teksi di Stesen Butterworth untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

Kenyataan itu berkata turut terjejas ialah perkhidmatan tren kargo.

Penumpang terlibat boleh mendapatkan pemulangan penuh wang mereka untuk perjalanan yang dibatalkan ataupun menukar tarikh perjalanan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan mengenai perkara itu boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM melalui talian 1-300-88-5862 atau mengunjungi stesen KTMB berhampiran.

Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dan hujan yang berterusan sejak semalam mengakibatkan jumlah penduduk yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.

Setakat tengah hari ini, seramai 9,264 penduduk dipindahkan di Kedah dan lebih 3,000 orang di Perlis kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan. -BERNAMA

Artikel Lain