suria

Diskaun Tol 60 Sen Dan 20 Sen Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR: Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) akan memberikan diskaun tol 60 sen bagi pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong dan 20 sen di Lebuhraya Sprint dalam tempoh 24 jam, mulai pukul 12.01 pagi pada hari Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak Sazally Saidi dalam satu kenyataan berkata diskaun itu bersempena perayaan Deepavali untuk dinikmati oleh kenderaan dari semua kelas.

Sementara itu Express Rail Link (ERL) pula menawarkan dua pakej super-value untuk keluarga dan rakan-rakan yang menaiki Ekspres Kuala Lumpur International Airport (KLIA) menjelang ketibaan cuti hujung tahun. Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata ini merupakan kali pertama ERL menawarkan tambang nilai istimewa bagi KLIA Ekspres dan ia hanya boleh didapati secara online menerusi laman web www.KLIAekspres.com atau www.malaysiaairlines.com).

"Jualan secara online kami berkembang baik sejak ia dilancarkan dua bulan lepas. Apa lagi cara lebih baik untuk kami sampaikan penghargaan kepada pelanggan kami selain menawarkan mereka permulaan baik kepada pengalaman percutian mereka," katanya.

Terdapat dua pakej yang ditawarkan, yang disasar bukan sahaja untuk penumpang perkhidmatan penerbangan, tapi juga buat pelancong yang melawat Kuala Lumpur.

Pakej Keluarga berharga hanya RM75 sehala ditawarkan untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak, iaitu 25 peratus diskaun daripada harga biasa, manakala bagi mereka yang melakukan perjalanan secara berkumpulan lebih daripada tiga orang, mereka akan dapat menikmati kadar penjimatan yang tinggi dengan pakej tambang Group Saver RM25 seorang bagi perjalanan sehala (Harga tambang sehala standard KLIA Ekspres ialah RM35).

Orang ramai boleh membeli tiket-tiket secara online ini sejak Isnin sehingga 31 Disember ini, bagi perjalanan dari 17 November sehingga 2 Januari.

Menurutnya tiket-tiket e-tikets format PDF sah untuk digunakan bagi tarikh perjalanan yang terpilih sahaja. - BERNAMA

Artikel Lain