suria

Dadah Boleh Dibeli Dengan Tukar Barang

TAWAU: Bagi penagih di sini yang tidak mampu membayar tunai untuk membeli dadah, mereka didapati boleh menjual barangan seperti aksesori kereta, telefon bimbit atau peralatan elektrik kepada pengedar dadah yang kemudiannya akan menjual dadah kepada penagih mengikut nilai barangan tersebut.

Perkara ini dikesan oleh polis setelah menyerbu sebuah rumah yang didiami seorang pengedar dadah di Jalan Kuhara pada Ogos lalu.

"Dalam serbuan itu, polis antinarkotik merampas barangan curi berupa 13 buah amplifier, 12 buah radio kereta, sembilan speaker, tiga equalizer, dua buah radio mini hi-fi, sebuah kamera 'handyman', sebuah kamera digital dan 20 buah telefon bimbit berbagai jenama," kata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin.

Isteri pengedar yang berusia 29 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

Wanita berkenaan yang juga ibu kepada tiga orang anak berusia antara tiga hingga 13 tahun juga didapati positif dadah.

Suami wanita itu yang berusia 33 tahun telah di berkas di Kota Kinabalu pada 18 Okt lepas dan sedang ditahan untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Lain