suria

Bekas ADUN Engkilili Keluar Parti SUPP

KUCHING: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Engkilili, Toh Heng San mengambil keputusan untuk keluar dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), selepas mendakwa parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan politiknya dan tidak lagi berjuang untuk kepentingan rakyat.

Langkah Toh itu juga dikatakan ekoran bantahannya teradap keputusan SUPP menerima kemasukan Adun Engkilili Dr Johincal Rayong Nyipa, yang menentang calon SUPP Jonathan Krai Pilo, dalam pilihan raya negeri pada 2006.

Toh, yang merupakan pengerusi SUPP cawangan Engkilili sejak 1990, sebelum ini pernah membuat pengumuman bahawa beliau akan meninggalkan parti itu sekiranya pemimpin parti menerima kemasukan Dr Rayong, yang kemudiannya mengisytiharkan diri sebagai Adun yang menyokong BN.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk meninggalkan SUPP, namun ia perlu kerana perjuangan parti kini tidak lagi selaras dengan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Toh merupakan Adun Engkilili dari 1991 hingga 2006, namun dia diminta tidak mempertahankan kerusi DUN kawasan itu pada pilihan raya lepas untuk memberi laluan kepada Jonathan Krai Pilo.

Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri lepas Dr Rayong, yang bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), menewaskan Jonathan dengan 426 undi.

Sementara itu Presiden parti Tan Sri Dr George Chan berkata langkah Toh keluar dari parti tidak akan memberi kesan kepada parti itu pada pilihan raya negeri akan datang. Permohonan Dr Rayong untuk menyertai SUPP diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP pada 20 September lepas. - BERNAMA

Artikel Lain