suria

Tun Mahathir Yakin BN Boleh Menang Di Galas Dan Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi berikutan masalah dalaman yang dihadapi pembangkang, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya fikir BN mempunyai peluang cerah kerana prestasi pembangkang tidak berapa baik sangat. Kini mereka berkelahi sesama sendiri dan sebagainya. Jika mereka menang dan menjadi kerajaan, ia akan menjadi bencana kepada negara," katanya kepada pemberita di Persidangan Sedunia mengenai Riba di sini pada Isnin.

Ditanya tentang kritikan terhadap calon PAS di Galas, Dr Zulkefli Mohamed yang dikatakan tidak dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat kerana gemuk, Dr Mahathir berkata keadaan fizikal bukan perkaranya.

"Saya tidak fikir berat badannya sesuatu yang perlu kita ambil kira. Perkara yang lebih penting ialah dia mewakili parti yang tidak mempunyai kredibiliti," kata beliau.

Calon BN, Ab Aziz Yusoff akan menentang Dr Zulkefli sementara di Batu Sapi, calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin akan menentang calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR, Ansari Abdullah.

Kedua-dua pilihan raya diadakan serentak Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Lain