Terowong Landasan Berkembar Di Kuala Kangsar Siap Tahun Depan - Semasa | mStar

Terowong Landasan Berkembar Di Kuala Kangsar Siap Tahun Depan

KUALA KANGSAR: Terowong Berkembar Berapit (TBB) yang merupakan terowong landasan kereta api berkembar terpanjang di Asia Tenggara akan siap sepenuhnya hujung tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata ketika ini 70 peratus daripada kerja-kerja pembangunan terowong itu sudah disiapkan, manakala baki 30 peratus lagi merangkumi kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan melengkapkan sistem.

"Pembinaan terowong ini bermula pada 4 Oktober 2009 dengan menggunakan konsep twin bore dengan satu landasan setiap satu, serta pembinaan sembilan 'cross passage' antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan," katanya semasa berucap pada Majlis Penembusan Terowong Berapit bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar di Padang Rengas dekat sini, Isnin.

"Ia juga memenuhi semua aspek keselamatan yang perlu disediakan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kecemasan, manakala infrastruktur keselamatannya pula bertaraf antarabangsa," tambahnya.

Kong berkata pada keseluruhannya prestasi PLBE kini mencapai kemajuan fizikal 57 peratus dan kerja-kerja sekarang melibatkan pembinaan stesen, jejambat dan kerja landasan.

Pembinaan PLBE Ipoh-Padang Besar sepanjang 329 kilometer dijangka menelan belanja RM12.5 billion dan ia merupakan projek Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) bagi menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Pembinaan yang diterajui MMC-Gamuda JV itu turut melibatkan pembinaan 65 buah jalan raya atas jambatan, 8 buah jalan raya bawah jambatan, 75 buah jambatan sungai serta 43 buah jambatan motosikal dan pejalan kaki.

Terdapat juga pembinaan sebuah jambatan berbuai berukuran sepanjang 290 meter di Perai, Pulau Pinang dan jejambat marin sepanjang 3.5 kilometer yang akan dibina di Bukit Merah, Taiping.

Sementara itu Kong berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk melaksanakan PLBE antara Gemas dan Johor Bahru dalam masa terdekat sebagai pelengkap kepada projek PLBE sepanjang Pantai Barat Malaysia.

Kong berkata PLBE Ipoh-Padang Besar merupakan pelengkap yang kritikal kepada Pembangunan Koridor Utara (NCER) khususnya dalam memperkukuhkan koridor itu sebagai hub logistik.

"Projek ini akan memberi kesan limpahan ekonomi dalam bentuk peningkatan pertumbuhan bagi negeri-negeri yang terlibat iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," tambahnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kong berkata semua pengusaha syarikat pengangkutan awam bertanggungjawab memastikan pemandu yang bertugas dengan mereka mempunyai lesen memandu yang sah.

Mengulas laporan bahawa pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah minggu lalu yang didapati tidak mempunyai lesen memandu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat dan pemandu terbabit.

Katanya semua syarikat diminta menyemak lesen yang dimiliki pemandu mereka dan memastikan lesen yang dimiliki adalah asli, manakala kesihatan pemandu berada di dalam keadaan baik semasa menjalankan tugas.

Dalam kemalangan minggu lepas, bas rombongan dari Kedah yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah.

Bas itu terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas.

Polis menahan pemandu bas itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain

Guardiola bakal tinggalkan City?