suria

Tanah Warisan Orang Asli Tergadai Kerana Ladang Rakyat

GUA MUSANG: Dulunya, hutan sekeliling kampung adalah tempat Anjung a/l Singang memburu landak, memungut buah perah dan petai mahupun menangkap ikan kelah di anak sungai yang jernih airnya.

Hutan itu, yang ibarat syurga bagi Anjung, 40, dan lebih 40 penduduk kampung Orang Asli suku Temiar di Pos Hendrope, kini menanti musnah dek angkara pembangunan yang dilakukan atas nama Ladang Rakyat.

"Mereka (kerajaan PAS Kelantan) kata nak buat ladang rakyat sebab nak bantu Orang Asli dan bagi RM200 sebulan, tetapi bukan semua kita yang terlibat, hanya seorang dua yang terpilih, yang lain semua orang luar.

"Begitukah mahu bantu rakyat, tanah kami tergadai, kawasan kami diceroboh akhir sekali kebajikan kami terabai," katanya kepada Bernama.

Katanya selama ini mereka amat dahagakan pembangunan dan selalu mengharapkan kerajaan PAS Kelantan turun padang untuk meninjau sendiri permasalahan mereka dengan lebih dekat.

Namun ia hanya tinggal harapan kerana pemimpin yang dipilih tidak pernah menjenguk muka, jauh sekali mengambil berat tentang permasalahan yang mereka hadapi ekoran pencerobohan hutan di kawasan tanah warisan mereka.

"Sudahlah tanah kami diceroboh, kebajikan kami juga tidak dijaga. Bekalan air dan elektrik yang kami dapatkan sekarang pun semuanya sebab bantuan kerajaan Pusat," katanya.

Bagi Kamal a/l Alek, 25, dari Pos Balar pula, perit sekali baginya membayangkan tiada lagi rimbunan buluh dan sumber hutan lain akibat berleluasanya kegiatan pembalakan di kawasan Lojing.

"Habis bukit-bukit diratakan, pokok-pokok hijau ditebang diganti dengan ladang kelapa sawit. Pokok-pokok buluh yang tumbuh meliar pun dipotong.

"Kalau habis pokok buluh selepas ini, kami nak (tarian) sewang pakai apa? Takkan nak guna kelapa sawit untuk buat sewang," katanya.

Menurutnya sejak ladang rakyat diperkenalkan, banyak tanah adat, tanah tradisi dan tanah kubur diteroka dengan rakus oleh "orang luar" bagi tujuan pembalakan dan ladang rakyat.

"Apabila kami tanya kenapa tanah kami diceroboh, pembalak bagi tahu mereka dah membelinya daripada kerajaan negeri.

"Habis...hak kami yang selama ini yang berpuluh tahun duduk di situ mana?

"Jadi kami berharap sangat kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat membantu memperjuangkan hak Orang Asli daripada terus teraniaya," katanya semasa lawatan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Tengku Razaleigh Hamzah di Pos Balar baru-baru ini.

Katanya kebanyakan pekerja ladang rakyat terdiri daripada rakyat asing dan ini sekaligus menutup peluang pekerjaan kepada Orang Asli terutama kalangan belia.

Sementara itu, bagi penghulu Pos Balar Long Busu, 80, sudah sampai masanya penerokaan hutan secara berluasa itu dihentikan segera oleh kerajaan PAS Kelantan.

Malah, katanya mereka wajar diberikan hak pemilikan tanah untuk mengekalkan tanah warisan serta tanah adat mereka sekaligus membolehkan mereka mewariskannya kepada generasi akan datang.

"Kita duduk di sini telah lama sejak zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman lagi. Selama ini aman...nak cari buah hutan pun senang untuk makan.

"Tetapi keadaan sekarang sudah jauh berbeza. Kalau berterusan tanah kami diganggu, lebih baik kami masuk hutan terus, anak-anak tidak payah sekolah, kami pun tidak payah undi sesiapa," katanya.

Pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara calon BN Abdul Aziz Yusoff dan Dr Zulkefli Mohamed dari PAS.

Kawasan pilihan raya itu mempunyai 1,889 pengundi Orang Asli iaitu di Pos Balar, Pos Hendrop, Pos Bihai, Pos Hau dan Pos Brooke. -BERNAMA

Artikel Lain