suria

Sektor Awam Harus Amal Pemikiran Kritis Untuk Cari Penyelesaian Inovatif - Najib

PUTRAJAYA: Sektor awam harus mengamalkan pemikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tak mahu lihat budaya 'automasi' menjadi satu hakikat dalam sektor awam tetapi hendaklah sentiasa berfikir di luar kotak kebiasaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan," kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam ucapannya sempena majlis sambutan Hari Inovasi Kementerian Kewangan 2010 di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib berkata dengan lahirnya budaya inovasi, ia dapat meningkatkan lagi pembudayaan kreativiti, memupuk budaya kerja berpasukan dan pemuliharaan di kalangan individu terhadap aset organisasi, di samping mengurangkan pembaziran dan meningkatkan produktiviti.

Perdana Menteri menyeru semua warga kerajaan supaya bersama-sama secara gigih dalam usaha transformasi negara melalui peningkatan produktiviti kerja.

"Besar harapan saya untuk melihat keberkesanan mekanisme yang boleh menggalakkan setiap warga kementerian berkongsi idea-idea kreatif dan bernas bagi memudahkan tugasan seharian supaya lebih efisien dan kreatif," katanya.

Keadaan ini seharusnya memberi impak yang positif kepada perkhidmatan kerajaan, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain