suria

Pelajar Maut Selepas Motosikal Dilanggar Kereta

PARIT: Seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta di kilometer 36 Jalan Ipoh-Sitiawan dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 7.30 pagi ketika kedua-dua pelajar tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar itu sedang dalam perjalanan ke sekolah.

"Motosikal yang dinaiki dua pelajar itu dirempuh oleh kereta ketika mereka mahu hendak melintas melalui pembahagi jalan yang dibuka di laluan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pelajar yang meninggal dunia dikenali sebagai Norhanisa Zam, yang membonceng motosikal itu sebelum dia terhumban ke dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya penunggang motosikal Jamaaitul Aida Ahmad Ramli, 17, dan juga pemandu kereta berkenaan dimasukkan ke Hospital Changkat Melintang dekat sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu seorang saksi, Suria Jamil, 26, berkata beliau terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok kelapa. - BERNAMA

Artikel Lain