suria

Najib Lulus RM16 Juta Besarkan Jalan Sibuga

SANDAKAN: Sebanyak RM16 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi melaksanakan projek membesarkan Jalan Sibuga, yang kerap mendatangkan kerumitan kepada pengguna jalan raya itu, mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata berikutan rungutan penduduk kawasan itu yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong dalam kawasan Parlimen Batu Sapi, beliau secara peribadi menghubungi Najib, yang juga Menteri Kewangan, pada 9.30 pagi tadi bagi meminta peruntukan untuk menaik taraf jalan sepanjang 2.75km itu.

"Perdana menteri terus meluluskan peruntukan RM16 juta dan meminta saya mengumumkannya pada Isnin.

"Kita akan membesarkan jalan laluan sehala itu kepada dua hala bagi mengatasi masalah kesesakan jalan yang sering berlaku di situ," katanya pada satu sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menurut Pairin, jalan raya itu semakin sibuk dengan adanya lapan sekolah di sekitarnya, sebuah kompleks sukan, rumah warga tua, taman-taman perumahan dengan 5,000 unit rumah dan Institut Latihan Perindustrian.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM2.3 juta bagi kerja pembaikan dan penurapan 12 jalan kecil di sekitar Jalan Sibuga. - BERNAMA

Artikel Lain