suria

Muhyiddin Mahu Tiada Lagi Pihak Putar Belit Fakta Projek Warisan Merdeka

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mahu tiada lagi pihak memutarbelitkan fakta mengenai projek Warisan Merdeka yang akan dibangunkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sambil menegaskan bahawa projek itu bukan dibiayai oleh kerajaan, Timbalan Perdana Menteri meminta supaya pihak berkenaan tidak memandang rendah akan kebijaksanaan institusi permodalan itu untuk membangunkan projek membabitkan pembinaan menara 100 tingkat.

"Tentu dia (PNB) bijak, jangan kita pandang rendah tentang kebijaksanaan PNB yang telah wujud sekian lama dan memberi hasil pulangan yang baik kepada pemilik saham.

"Saya tidak fikir ada pihak yang harus memutar (fakta) kecuali dia berniat tidak baik melihat ini sebagai suatu perkara yang tidak beri faedah kepada dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan BioMalaysia 2010 di sini Isnin.

Muhyiddin berkata demikian semasa menjawab satu soalan mengenai tindakan sesetengah pihak yang masih lagi mempertikaikan kewajaran pembangunan Warisan Merdeka, sebagai satu lagi mercu tanda negara.

Muhyiddin berkata projek itu bukanlah projek ikonik semata-mata tetapi mempunyai faedah dan pulangan kepada para pelabur yang telah difikirkan oleh PNB sebelum bercadang untuk membangunkan projek mega itu.

Artikel Lain