suria

MAS Terima Pesawat Generasi Baru B737-800 Pertama

SUBANG: Malaysia Airlines Bhd hari ini menerima pesawat generasi terbaru B737-800 pertamanya, yang menjanjikan pengalaman perjalanan yang lebih baik untuk penumpang kelas ekonomi dan perniagaan.

Penumpang akan menikmati sistem hiburan dalam pesawat, termasuk muat turun audio dan video, suasana dalaman lebih luas, lebih baik, siling lebih tinggi serta pencahayaan.

Syarikat penerbangan nasional itu menempah 55 pesawat tersebut daripada Boeing, dan syarikat itu akan menyerahkan tiga lagi pesawat menjelang akhir tahun, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin.

"Kami merasa bangga mengumumkan bahawa kami merupakan syarikat penerbangan perkhidmatan lengkap yang pertama di dunia menggendalikan B737-800 dengan kemasan dalaman Boeing baharu ini," kata beliau pada sidang akhbar selepas menerima penghantaran Pesawat B737-800 baharu itu di Lapangan Terbang Skypark di sini Isnin.

B737-800 itu, yang mempunyai tempoh perjalanan enam jam, berlepas dari Boeing di Seattle, Amerika Syarikat pada 29 Okt.

Dalam perjalanan tiga hari itu, ia singgah di Hawaii, Marshall Islands dan Guam sebelum tiba di Skypark, Subang. Pesawat yang mempunyai 160 tempat duduk itu begitu dinamik dengan jejalur merah dan biru mewakili warna seragam baharu korporat Sistem Penerbangan Malaysia.

"Ia merupakan semangat keazaman kami untuk menawarkan layanan terbaik Malaysia kepada penumpang kami," katanya.

MAS juga menempah dua puluh lima unit pesawat A330-300 dan enam unit A380. MAS dijangka akan menerima penghantaran pesawat A330-300 yang pertama itu tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain