suria

Keputusan Kontroversi Pemilihan PKR: Azmin Kembali Dahului Pencabar

PETALING JAYA: Seperti ada yang tidak kena dengan proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masuk hari keempat pada Isnin selepas keputusan awal yang dipaparkan melalui laman web rasmi parti itu dikatakan tersilap gara-gara 'kesalahan manusia'.

Keputusan laman web itu yang disiarkan pagi tadi bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, selepas 68 cabang mengundi menunjukkan Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mendapat keseluruhan 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR (3,051).

Manakala seorang lagi calon Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,271 undi.

Bagaimanapun, halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu sudah tidak dapat lagi diakses selepas ibu pejabat parti itu mengeluarkan keputusan rasmi lain yang menunjukkan angka berbeza iaitu Azmin mendahului Zaid.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah, Azmin mendahului dengan mendapat 3,051 undi sementara Zaid pula memperoleh hanya 2,529 undi manakala Mustaffa yang juga Naib Presiden (1,149).

Beliau mengesahkan bahawa kesilapan keputusan tesebut berlaku disebabkan oleh kecuaian individu yang memasukkan dan mengemaskini data serta keputusan rasmi bagi pemilihan tersebut.

"Ya memang kita akui ada berlaku kesilapan manusia ketika memasukkan data keputusan rasmi tersebut. Ia pun telah diperjelaskan oleh Setiuasaha Agung, Saifuddin Nasution hari ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Sementara itu, bagi kerusi naib presiden pula, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga Pengarah Strategik PKR mendahului senarai dengan mendapat 3,621 undi, diikuti oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang memperoleh (3,543).

Mereka diekori rapat oleh Pengarah Pilihan Raya PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan di tempat ketiga (2,895) manakala Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman mendapat (2,852).

Artikel Lain