suria

Juragan Bot Ekspres Tatau Mengaku Tidak Bersalah, Perbicaraan 17 Januari 2011

BINTULU: Seorang juragan bot ekspres, yang karam selepas berlanggar dengan tongkang balak di hulu Sungai Anap, Tatau, 18 Oktober lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian 13 penumpangnya.

Ting Ming Siik, 58, dari Sibu, membuat pengakuan tersebut sejurus jurubahasa membaca 13 pertuduhan di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dalam dialek Foochow.

Hakim Mautin a/k Pagan kemudian menetapkan lima hari perbicaraan bermula 17 Januari depan dan melanjutkan tempoh ikat jamin Ting sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin.

Ting, yang diwakili oleh peguam Cecil Lau, kelihatan tenang ketika kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Anap berdekatan Kem Kelebu, daerah Tatau, antara jam 2 dan 3 petang, 18 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, bot ekspres berkenaan 'Liang Yu' yang dipandunya dalam perjalanan dari pekan Tatau ke Hulu Kakus terbalik dan karam selepas berlangar dengan sebuah tongkang balak.

Timbalan Pendakwa Raya, Hairun Najmi, memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil beberapa saksi daripada 17 mangsa yang terselamat untuk memberi keterangan semasa perbicaraan itu.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu ialah Bremas Nyuweng, 26, Peter Julan, 28, Amilia Sisa, 3, Wong Siew Guan, 21, Wilfred Ukir Salleh, 56, Reas Rengan, 75, Jennifer Yak, 10 bulan, Undah Engkamat, 23, Lily Manggi, 38, Lenny Eben, 9, Alicia Emelda Sumping, 5, Jau Deng, 43, dan Empam Untam, 48. - Bernama

Artikel Lain