suria

Jawatankuasa Khas Ditubuh Kaji Penambahbaikan Kandungan Subjek Sejarah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mengesyorkan penambahbaikan ke atas kandungan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jawatankuasa itu yang anggotanya termasuk pakar-pakar sejarah negara akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik subjek Sejarah dengan melibatkan aspek seperti pembentukan negara, perlembagaan negara, sejarah Malaysia moden dan perpaduan nasional.

"Ini bertujuan untuk pembentukan kefahaman yang lebih mendalam terhadap sejarah negara bangsa agar dapat menerapkan jati diri unggul masyarakat Malaysia sejak dari bangku sekolah lagi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Kementerian Pelajaran.

Menurutnya bagi membolehkan murid Sekolah Rendah turut menghayati sejarah, bermula 2014 di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah juga akan dijadikan mata pelajaran teras.

"Sebelum ini, pada peringkat rendah, elemen Sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan," katanya.

Mohd Puad juga berkata Kementerian Pelajaran masih mengekalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Tahun Enam namun akan membuat penambahbaikan menjelang 2016 dengan penekanan ujian diberikan sebanyak 60 peratus berdasarkan lima mata pelajaran teras, manakala 40 peratus lagi diambil melalui pentaksiran sekolah yeng meliputi aktiviti kokurikulum dan psikometrik yang melibatkan ujian kecenderungan dan personaliti.

Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau berkata penambahbaikan dilaksanakan dalam bentuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah sepenuhnya yang dipantau oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Katanya antara komponen utama termasuklah mata pelajaran dipelajari, kegiatan kokurikulum, ujian kecenderungan dan personaliti.

"Bagaimanapun cadangan penambahbaikan ini akan diteliti secara terperinci dalam semua aspek, sehinggalah mendapat kata putus yang benar-benar mantap sebelum pelaksanaannya bermula.

"Ingin saya tegaskan bahawa penambahbaikan ini tidak akan merugikan murid, malahan objektif utama penambahbaikan adalah untuk melahirkan modal insan yang holistik dan berkeupayaan tinggi dalam semua aspek," katanya.

Sementara itu Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran tidak menetapkan syarat kepada guru yang akan mengajar subjek Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu fasih dan menguasai Bahasa Mandarin.

Katanya syarat-syarat sedemikian boleh menghalang usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah jenis kebangsaan.

"Adakah Yang Berhormat (Bukit Mertajam) boleh memberi jaminan jika sekiranya mengajar Bahasa Melayu menggunakan Bahasa Cina, pelajar akan faham Bahasa Malaysia dengan lebih baik.

"Tidak timbul bahawa guru Bahasa Malaysia mesti menguasai Bahasa Mandarin untuk mengajar di SJKC. Ini pada saya adalah syarat-syarat yang tidak munasabah dan tidak patut dikenakan dalam memastikan penguasaan Bahasa Malaysia di SJKC di Malaysia," jelasnya.

Mohd Puad berkata pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi melahirkan pendidik berkualiti dalam sistem pendidikan negara termasuk menambah baik sistem pemilihan calon guru, memantapkan latihan perguruan, latihan kepimpinan dan pengurusan sekolah, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan dan memperluas laluan kerjaya serta kebajikan guru. - BERNAMA

Artikel Lain