suria

Jawatan Penasihat Undang-Undang Tidak Pernah Wujud Di MAIWP

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jawatan Penasihat Undang-Undang tidak pernah wujud di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), persidangan Dewan Rakyat diberitahu di sini pada Isnin.

Katanya tugas bagi urusan yang berkaitan dengan aspek undang-undang digalas oleh Pengurus Unit Undang-Undang MAIWP iaitu bidang kuasanya adalah sebagai penyelaras kes-kes perbicaraan dan memproses pelantikan peguam panel bagi majlis itu.

"Tugas tersebut juga tidak memerlukan beliau untuk hadir ke mahkamah bagi proses perbicaraan," katanya ketika menjawab pertanyaan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Nasharudin ingin tahu sama ada benar penasihat undang-undang MAIWP adalah peguam yang telah dibuang daripada beramal di Mahkamah Sivil.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata MAIWP menyedari Pengurus Unit Undang-Undang itu merupakan seorang peguam yang tidak lagi dibenarkan beramal di Mahkamah Sivil.

"Bagaimanapun, pelantikan beliau tidak memerlukan surat kebenaran daripada Majlis Peguam Malaysia memandangkan tugasnya hanya melibatkan tugas-tugas pentadbiran," katanya sambil menjelaskan bahawa pegawai tersebut telah menamatkan perkhidmatannya di MAIWP pada 18 Ogos lepas.

Ketika menjawab soalan tambahan Nasharudin yang ingin tahu bilangan peguam panel yang dilantik oleh MAIWP bagi mengendalikan kes, beliau berkata MAIWP pada tahun ini telah melantik seramai 26 peguam panel bagi mengendalikan 28 kes mahkamah, iaitu 18 kes di Mahkamah Syariah manakala 10 lagi kes di Mahkamah Sivil. - BERNAMA

Artikel Lain