suria

Jabatan Kebajikan Masyarakat Siap Sedia Hadapi Banjir - Shahrizat

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir berikutan musim tengkujuh sekarang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dilaporkan telah mengalami banjir dengan sebilangan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Beliau berkata JKM telah menyediakan pusat pemindahan mangsa yang terdiri daripada bangunan sekolah, dewan orang ramai, surau dan masjid.

"Semua pegawai dan kakitangan JKM telah diarah bersiap sedia dan mereka diletakkan dan keadaan bersiap sedia dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.

"Kita juga akan membuka Bilik Gerakan peringkat negeri dan daerah sebaik saja berlaku banjir bagi memudahkan pemantauan dibuat di semua pusat pemindahan banjir," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Shahrizat berkata perancangan juga telah dilakukan bagi membolehkan bekalan barangan keperluan kepada mangsa dapat disalurkan dengan lancar dan segera.

Katanya persediaan pihaknya dalam menghadapi bencana banjir telah dibuat bersama agensi yang lain dengan merancang sistem penyaluran bantuan yang lebih menyeluruh.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang rumah mereka dinaiki air supaya berpindah segera.

"Jangan letak diri kita dalam keadaan bahaya. Pindah segera ikut arahan dan pergilah ke pusat pemindahan banjir yang berdekatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain