suria

Hasil Siasatan Kemalangan Maut Dibentang Dalam Mesyuarat 8 Nov

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan terhadap Syarikat Taipan Suria (MM2H) Sdn Bhd, syarikat bas terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di KM38 Genting Sempah pada Jumaat lepas, akan dibentang pada mesyuarat Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Maut 8 Nov depan.

Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata tindakan terhadap syarikat bas berkenaan hanya akan diketahui selepas jawatankuasa itu bermesyuarat.

Mesyuarat itu, yang akan dipengerusikan oleh LPKP, akan disertai Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR, Puspakom, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Beliau berkata LPKP turut melakukan auditan terhadap syarikat bas itu berhubung pembabitan bas syarikat tersebut dalam kemalangan berkenaan.

"Antara aspek yang diaudit dan dibuat penilaian ialah dari segi pengurusan syarikat iaitu pengurusan pemandu, kenderaan, perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini. - BERNAMA

Artikel Lain