suria

Fasa Terakhir Little India Dijangka Siap Mei 2011

KUALA LUMPUR: Fasa kedua pembinaan Little India di Brickfields di sini yang merupakan fasa terakhir dan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM35 juta dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya Mei tahun depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata jumlah tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan pihaknya hanya membantu dari segi pembaikan jalan dan laluan pejalan kaki di sekitar Brickfields.

"Jumlah keseluruhan (pembinaan)disumbangkan MRCB yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM50 seorang kepada 215 penerima sempena Deepavali di Perkarangan Kuil Sri Muthu Mariaman, Pantai Dalam, Ahad.

Turut hadir ialah Ketua MIC Lembah Pantai T.R Narayanan, Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan dan Setiausaha MCA bahagian Lembah Pantai Datuk Lai Kong Fah.

Fasa pertama Little India yang melibatkan kos RM17 juta yang bermula sejak Mei lalu dan dijangka disiapkan Disember ini telah dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari India, Dr Manmohan Singh Rabu lepas sewaktu lawatan rasmi tiga hari Manmohan ke negara ini.

Little India meliputi kawasan dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan di Brickfields.

Terdahulu ketika berucap, Raja Nong Chik menyeru penduduk Lembah Pantai terutamanya golongan miskin supaya tampil mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, sehingga kini hanya kira-kira 55,000 penduduk di kawasan itu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

"Susah kita nak berikan bantuan terutamanya kepada golongan miskin sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi di kawasan Lembah Pantai," kata beliau.

Justeru, beliau menggesa semua parti komponen Barisan Nasional(BN) di Parlimen Lembah Pantai supaya mengadakan lebih banyak program untuk mendaftarkan lebih ramai pengundi.-BERNAMA

Artikel Lain