suria

Rakyat Harus Terima Kepelbagaian Jayakan Gagasan 1Malaysia

PASIR GUDANG: Rakyat harus bersedia menerima kepelbagaian yang terdapat di negara ini kerana ia penting bagi menjayakan matlamat gagasan 1Malaysia, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata penerimaan tersebut mampu menghapuskan sikap tidak mempercayai antara satu sama lain, dan ini akan membolehkan kerajaan merancang serta melaksanakan pembangunan secara berterusan.

"Di mana sahaja kita berada, adalah penting untuk kita menjayakan gagasan 1Malaysia ini dengan mengamalkan kerjasama erat, mengekalkan perpaduan dan bersikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan," katanya semasa merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Bersama Masyarakat Sarawak dan Sabah di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Ahad.

Program itu mengetengahkan tarian tradisional masyarakat Iban seperti "Ngajat Indu", "Pangalay Linggisan" kaum Suluk, tarian Ketam Bakang orang Asli Johor, Zapin serta tradisional kaum India dan Cina.

Menyentuh mengenai program tersebut, Salang berkata ia memberi peluang kepada masyarakat di sini mengenali lebih dekat kesenian dan kebudayaan penduduk Sarawak dan Sabah.

Beliau bersama tetamu kehormat lain sebelum itu menghadiri majlis kenduri beradat bersama penduduk di Taman Cendana di sini.

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu dapat membantu rakyat mengekalkan kesenian dan kebudayaan masing-masing.

Beliau berkata selain itu, ia mampu memperkasa perpaduan antara penduduk yang berasal dari Sarawak dan Sabah dengan penduduk tempatan, sekaligus merealisasikan matlamat gagasan 1Malaysia.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang A. Rahim Nin pada majlis itu.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat lebih 30,000 rakyat Sarawak dan Sabah yang bekerja ataupun menetap di Johor, khususnya di kawasan Parlimen Pasir Gudang. -BERNAMA

Artikel Lain