suria

Polis Hanya Terima empat Laporan Kes Kecil Di Galas

GUA MUSANG: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata suasana kempen dalam tempoh lima hari sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini, berjalan dengan aman kerana polis hanya menerima empat laporan kes kecil.

Beliau berkata keempat-empat kes yang diterima merupakan insiden-insiden kecil dan tidak menggugat keamanan negara.

"Ada beberapa insiden kecil dapat kita kawal dan kita telah jalankan siasatan. Umpamanya kejadian di mana bendera telah dibakar oleh mereka tidak bertanggungjawab dan masih dalam siasatan polis dan tiada insiden besar.

"Yang ada pun hanyalah perselisihan kecil antara penyokong yang mana pihak polis telah dapat membendung kejadian itu dan siasatan susulan dijalankan," katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan pasukan keselamatan di DU NGalas, di sini hari ini.

Pada Khamis lepas terdapat insiden membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno awal pagi Khamis lepas di Kampung Lembaga, di sini, yang dipercayai didalangi oleh jentera PAS dari luar yang berkempen untuk pilihan raya kecil itu.

Sehubungan itu beliau berharap orang ramai tidak membuat apa-apa andaian atau cerita yang boleh menyebabkan berlakunya kekecohan semasa hari pengundian.

Katanya, pengundi tidak perlu risau untuk keluar mengundi polis sudah bersedia memainkan peranan bagi memastikan keadaaan keseluruhan pilihan raya kecil ini berada dalam keadaan baik dan tenteram.

"Saya telah tinjau persiapan PDRM bagi memastikan pilihan raya kecil ini berjalan lancar dan menepati undang-undang dan setelah diberi taklimat oleh Ketua Polis Kelantan malam tadi dan saya telah berkesempatan menemubual pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab tertentu dalam memastikan objektif PDRM mencapai agar hari pembuangan undi berjalan baik," katanya.

Ismail berkata beliau percaya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pegawai dan anggota polis sama ada dari Kelantan atau dari negeri lain serta kerjasama semua pihak, pilihan raya kecil ini dapat berjalan secara terkawal.

Mengenai penahanan empat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), yang juga anggota Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) semalam, katanya polis tidak menahan pelajar itu sebaliknya hanya mengambil keterangan mereka untuk mengesahkan identiti pelajar tersebut sama ada mereka merupakan pengundi di kawasan ini, penuntut IPT ataupun penduduk luar. - BERNAMA

Artikel Lain