suria

Pendekatan Najib Dorong Masyarakat India Kembali Sokong BN, Kata Samy Vellu

SUNGAI SIPUT: Pendekatan baru kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi kaum India telah memulihkan keyakinan dan sokongan masyarakat itu terhadap Barisan Nasional (BN), kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengamalkan pendekatan yang lebih praktikal dan penuh kesungguhan dalam menangani masalah masyarakat India melalui campur tangan secara langsung oleh kerajaan.

"Hari ini, hampir 2,000 orang India dari Sungai Siput dan kawasan berhampirannya gembira kerana masalah mereka telah ditangani secara terus oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat anjuran bersama Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) dan MIC, di sini semalam.

SITF, yang diterajui Menteri Sumber Manusia dan Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam, ditubuhkan awal tahun ini untuk melaksanakan keputusan Jawatankuasa Kabinet bagi pembangunan kaum India yang dipengerusikan Najib.

Jika sebelum ini, masayarakat India terpaksa pergi sendiri ke jabatan dan agensi kerajaan untuk menyuarakan masalah mereka, tetapi kini mereka hanya perlu datang ke pusat sehenti ini, katanya, bagi merujuk kepada sesi bertemu rakyat anjuran SITF itu, di mana jabatan dan agensi kerajaan membuka kaunter untuk membantu masyarakat India menyelesaikan masalah mereka.

Program di Sungai Siput ini adalah yang keenam anjuran SITF di seluruh negara. Program pertama diadakan di Ijok, Selangor, pada Ogos lepas.

Samy Vellu berkata maklum balas yang diterima menunjukkan masyarakat India menyambut baik pendekatan terbaru yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah mereka.

Bekas Anggota Parlimen Sungai Siput dan Menteri Kerja Raya itu berkata beliau yakin MIC dan SITF akan mengadakan lebih banyak program serupa untuk masyarakat India di kawasan lain.

Katanya walaupun banyak lagi langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah masyarakat India, tetapi perkara yang perlu diberi tumpuan adalah hasilnya, bukan jumlah program yang diadakan.

"Saya yakin masalah mereka akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Mereka (masyarakat India) mahu masalah mereka diselesaikan dan saya percaya kerajaan akan memenuhi keperluan mereka," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain