Zaid Ibrahim Dahului Saingan Bagi Jawatan Timbalan Presiden PKR - Semasa | mStar

Zaid Ibrahim Dahului Saingan Bagi Jawatan Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Persaingan merebut jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga Jumaat, menyaksikan permulaan memberangsangkan bagi pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim apabila berjaya mendahului dua calon lain dengan 577 undi, selepas sembilan cabang parti itu bermesyuarat.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang dilihat sebagai calon pilihan hanya memperoleh 374 undi, manakala pengerusi PKR Perak yang juga Naib Presiden parti Mustaffa Kamil Ayub mendapat 61 undi.

Ini merupakan keputusan hari pertama pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi tempoh 2010-2013 yang diadakan di empat cabang di Kelantan iaitu Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Pasir Mas serta lima di Kedah iaitu Alor Setar, Langkawi, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Kubang Pasu.

Menurut pemerhati politik, kegagalan Mohamed Azmin mendahului persaingan pada hari pertama pemilihan parti tersebut kali ini dilihat mungkin berpunca daripada kesibukan beliau membantu kempen pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Menurut laman web rasmi PKR, 32 cabang parti itu bermesyuarat bagi menentukan pemimpin pilihan untuk menganggotai MPP iaitu di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

Bagi jawatan naib presiden, anak sulung penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu Nurul Izzah mendahului saingan dengan 494 undi.

Beliau diikuti rapat pengarah pilihan raya pusat PKR Fuziah Salleh yang memperoleh 467 undi, pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman (462), pengarah strategi parti Tian Chua (430) dan anggota MPP N.Gobalakrishnan (304).

Jawatan naib presiden yang mempunyai empat kerusi menyaksikan 17 calon bertanding termasuk Ansari Abdullah yang merupakan calon PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Seramai 132 calon menawarkan diri untuk mengisi 20 tempat dalam jawatankuasa MPP, dan timbalan pengerusi 1 PKR Kedah Wan Salleh Wan Isa mendahului pencabar lain dengan 440 undi.

Beliau diikuti anggota MPP Dr Badrul Amin Baharon (430), pengarah pemantapan politik keanggotaan PKR Datuk Johari Abdul (358) dan ketua penerangan Wanita PKR Elizabeth Wong Keat Ping (356).

Sementara itu, persaingan bagi jawatan ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain dengan 138 undi.

Pencabarnya timbalan pengerusi 2 Perlis, Dr Suraya Sudin memperoleh 98 undi manakala anggota MPP Animah Ferrar 32 undi.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Shamsul Iskandar memperoleh 136 undi manakala Badrul Hisham pula mendapat 127 undi.

Mesyuarat pemilihan membabitkan 222 cabang PKR yang bermula semalam dan berakhir 21 November ini, dan akan diikuti dengan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November depan, di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain