suria

Yong Teck Lee Semakin Terdesak, Kata Musa Aman

SANDAKAN: Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee adalah seorang yang semakin terdesak yang sanggup memutar belit fakta semata-mata kerana hendak mendapat sokongan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata Yong Teck Lee tidak boleh dipercayai mahupun diharapkan untuk menjadi seorang wakil rakyat, kerana dia hanya mementingkan agenda diri tanpa mengira kepentingan lain.

Bercakap dalam satu sesi bertemu rakyat dan kempen untuk Datuk Linda Tsen Thau Lin bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi, di Kg Bakau dekat sini malam ini beliau berkata, hari ini presiden SAPP itu cuba membangkitkan isu blok minyak 'Blok L dan M' milik Brunei pula untuk meraih sokongan.

Katanya soal mengenai Blok L dan M itu sebenarnya bukan lagi isu kerana ia sudah lama dijelaskan oleh kerajaan, di mana Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Jun lepas pernah menjelaskan bahawa berdasarkan tafsiran undang-undang mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, adalah jelas kedua-dua blok itu milik Brunei.

Walaupun Brunei merupakan pemilik sah dua blok minyak di luar pantai antara Labuan dan Miri itu, namun Malaysia tetap menerima bahagiannya bagi hasil minyak dan gas di kedua-dua kawasan berkenaan.

Pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi pada 4 November ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, calon SAPP Yong Teck Lee, dan calon Parti Pakatan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain