suria

Pendedahan Zulkifli Nordin Mengejutkan, Tetapi Adnan Tidak Terkejut

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan pendedahan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin berhubung perjanjian rahsia mengenai pegangan kuasa politik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai "mengejutkan, tetapi beliau tidak terkejut".

Katanya, beliau memang terkejut apabila terdapat perjanjian seumpama itu, kerana ia dilihat mampu memecahbelahkan negara, sekiranya ia benar-benar berlaku.

"Saya terkejut sebab adanya pakatan sebegitu rupa yang dibuat pembangkang, apa namanya autonomi? Itu semua adalah untuk memecahkan negara" katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Keenam Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, Adnan berkata perjanjian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan beliau kerana tindakan seperti itu sudah sebati dengan perjuangan pembangkang.

"Kita tidak terkejut sebab itu memang kerja pembangkang untuk buat huru-hara dan saya tidak berminat untuk mengikuti perkembangan PKR, DAP dan PAS sebab mereka ini adalah satu ikatan yang sangat longgar," katanya.

Adnan berkata perjanjian itu juga sesuatu yang berbahaya kerana ia menunjukkan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa dan memerintah negara.

"Untuk mendapatkan kuasa, PKR akan buat apa saja, termasuk jual negeri, kita tidak mahu begitu, sebab kita mahu duduk sekali dengan kaum lain dan mereka yang berlainan agama, serta tak mahu gaduh-gaduh," katanya.

Khamis lepas, ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Zulkifli mendedahkan wujud perjanjian rahsia antara PKR dan DAP yang tidak diketahui PAS.

Beliau mendakwa melalui perjanjian tersebut, DAP akan memiliki kuasa autonomi ke atas Pulau Pinang, sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan, selain wakil DAP dilantik sebagai Menteri Besar di negeri yang dimenangi parti itu.

Zulkifli berkata bagi menjayakan rancangan itu, DAP akan meletakkan calon Melayu, terutama di Negeri Sembilan dan Perak, untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain