suria

Pemandu Bas Ditahan Reman Empat Hari

KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, kini ditahan reman sementara dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Pemandu itu S. Muthumani, 40, yang patah kaki kanan dan cedera di muka, kelihatan dikawal rapi oleh seorang anggota polis di Wad 5, di HKL di sini.

Tinjauan Bernama mendapati beliau berseorangan di katilnya, dan polis yang menjaganya tidak membenarkan beliau ditemuramah.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah memberitahu, pemandu bas itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu keadaan di HKL, yang menempatkan lima mangsa kemalangan itu, termasuk dua cedera parah dan kehilangan kaki, turut dikawal ketat oleh polis bantuan hospital itu bagi memastikan tiada kesesakan pelawat sejak awal pagi tadi.

Bagaimanapun kawalan itu dilonggarkan ketika waktu melawat dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan kelihatan kelima-lima mangsa dikelilingi oleh anggota keluarga terdekat.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan itu ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain