suria

N45 Galas: PAS Janji Bayar RM250 Kepada Pengundi Luar

GUA MUSANG: PAS akan membayar sehingga RM250 kepada pengundi yang berada di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi menampung kos perjalanan pulang mengundi pada pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 4 November depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pemberian wang berkenaan bukanlah satu bentuk rasuah sebaliknya sebagai insentif bagi menarik minat pengundi untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Yang ada di Lembah Klang kita beri RM200 manakala Johor RM250...ini tidak rasuah. Kita janji akan bayar semuanya selepas mereka mengundi.

"Tak kira sama ada pengundi BN (Barisan Nasional) atau PAS semua pengundi luar kita minta supaya mereka balik," katanya pada sidang media di markas PAS di sini, Sabtu.

Menurut Abdul Halim, seramai 1,557 pengundi berdaftar di DUN Galas berada di luar kawasan.

Daripada jumlah itu seramai 675 pengundi berada di luar Kelantan, 372 pengundi berada di luar Parlimen Gua Musang dan 290 pengundi yang berada di luar kawasan DUN Galas.

Tambah Abdul Halim, pemberian wang berkenaan merupakan strategi bagi memastikan kelompok pengundi berkenaan pulang ke membuang undi.

Jelasnya kekurangan pengundi luar pulang mengundi akan menjejaskan jumlah keluar mengundi yang kebanyakkan dikenalpasti penyokong PAS.

"Kalau pengundi luar tak balik kita risau juga kerana akan memberikan kesan, kita tak nak jumlah keluar mengundi kurang daripada 81 peratus.

"Ini adalah salah satu strategi untuk ajak mereka balik, kita sangat perlu undi mereka kerana kebanyakannya mereka pengundi muda, dan kita tahu pengundi muda ini banyak menyokong Pakatan Rakyat dan PAS," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain