suria

N45 Galas: GAMIS Mahu Suara Mahasiswa Didengar

GUA MUSANG: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mahu menjadikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai medan bagi membuktikan golongan mahasiswa mempunyai hak untuk terlibat dan bersuara dalam sistem politik Malaysia.

Bagaimanapun menurut Presiden GAMIS, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan, kehadiran kumpulan mahasiswa seramai 200 orang ke kawasan DUN Galas bukan mewakili atau berkempen untuk mana-mana parti politik.

"Kami cuma mahu rasa (pengalaman) terlibat dalam politik, kami mahu jelaskan bahawa mahasiswa boleh berpolitik.

"Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak menyekat mahasiswa terlibat dalam politik, cuma tak benarkan terlibat dalam parti politik, perkara itu perlu jelas," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Selain itu menurut Ahmad Syazwan tujuan GAMIS menggerakkan jenteranya ke DUN Galas adalah sebagai jurucakap bagi menerangkan kepada rakyat agar lebih memahami mengenai beberapa dasar dan tindakan kerajaan.

"Kami nak terangkan kepada rakyat di sini sejauh mana mereka memahami mengenai Bajet 2011, mereka perlu tahu apakah imbuhan yang yang bakal mereka perolehi daripada bajet tersebut.

"Rakyat juga perlu tahu mengenai Menara Warisan Merdeka...apa yang rakyat dapat, jadi kami bertindak sebagai ejen semak dan imbang," katanya.

Ditanya sama ada tindakan GAMIS turun menerangkan mengenai isu-isu nasional berkenaan seolah-olah menggambarkan mereka membantu kempen parti politik tertentu, Ahmad Syazwan berkata:

"Kami turun atas dasar jujur kepada isu, bagaimana kami jelaskan isu dan jika terkena kepada mana-mana pihak, itu bukan tanggungjawab kami.

"Tindakan kami atas dasar mahu menjelaskan kepada rakyat, mana-mana parti yang terasa, kami tak bertanggungjawab, yang penting rakyat kena tahu dengan jelas."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain