suria

Muhyiddin Lulus Peruntukan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Batu Sapi 2

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan permintaan kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi Sekolah Menengah di Batu Sapi. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata projek membina Sekolah Menengah Batu Sapi 2 akan memakan belanja sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta dan peruntukkan itu telahpun disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, projek pembinaan sekolah itu sesuai dilakasanakan memandangkan Sandakan sedang dibangunkan sebagai sebuah hab pendidikan negara.

“Di samping itu, sebanyak RM2.5 juta lagi diluluskan bagi membantu sekolah-sekolah di kawasan ini dari segi kekurangan peralatan dan baik pulih sekolah,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Penjawat Awam dekat sini Sabtu.

Beliau turut meminta guru-guru, terutama di Batu Sapi, supaya membantu usaha kerajaan memajukan bidang pendidikan negara.

Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau berharap penjawat awam di Batu Sapi menunaikan tanggungjawab mereka pada 4 November ini bagi memilih wakil rakyat bagi kawasan Parlimen mereka. "Pilihan anda adalah rahsia. Tetapi saya berharap anda terus bersama Barisan Nasional agar usaha kita selama ini dapat diteruskan dan mencapai matlamat kita," katanya.

Jelasnya, BN masih berupa pilihan terbaik kerana kemampuannya meletakkan negara setanding dengan negara lain sejak merdeka, malah lebih baik dalam beberapa aspek penting seperti penurunan kadar kemiskinan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain