suria

Mesyuarat Pemilihan PKR Cabang Kubang Kerian Kecoh, Hanya 70 Anggota Hadir

KOTA BAHARU: Mesyuarat bagi memilih anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Cabang Kubang Kerian di sini Sabtu, kecoh gara-gara tidak ramai anggotanya hadir untuk mengundi.

Sehingga tamat tempoh mengundi pada pukul 5 petang, hanya kira-kira 70 daripada 230 anggotanya hadir membuang undi masing-masing.

Ketua Cabang Wan Noor Wan Abdullah berkata sebahagian besar anggotanya tidak hadir kerana memberikan alasan berada di Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kelantan dan Negeri Sembilan di Bukit Jalil.

"Lebih memburukkan keadaan sebahagian anggota Wanita pula memprotes kerana campur tangan pemimpin Wanita negeri yang hadir hari ini.

"Pemimpin itu telah campur tangan meminta anggota hanya memilih pemimpin tertentu dan keadaan itu menyebabkan bahagian Wanita tidak berpuas hati dan pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada Bernama.

Wan Noor berkata bagaimanapun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang mesyuarat pemilihan itu berlangsung.

"Saya bagaimanapun kecewa dengan keadaan hari ini dan mempertikaikan kenapa pemimpin Wanita itu datang mempengaruhi anggota kami membuat pemilihan," katanya.

Sehubungan itu, beliau membuat aduan secara rasmi kepada pengurusan negeri bagi tindakan lanjut.

Semalam mesyuarat pemilihan PKR Cabang Tumpat juga menghadapi masalah apabila hanya 200 daripada 1,600 anggota sahaja yang hadir.

Ia berikutan kelewatan masa membuat pemilihan selain ketiadaan peralatan untuk membuat undian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain