suria

Malaysia Dapatkan Pandangan Dan Sokongan Untuk Gerakan Global Kumpulan Sederhana, Kata PM

HANOI: Malaysia berusaha mendapatkan pandangan serta sokongan anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk satu inisiatif bagi mewujudkan sebuah "Gerakan Global Kumpulan Sederhana" dalam usaha mencapai keamanan global, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau memaklumkan kepada rakan kongsi EAS bahawa Malaysia sedang menyediakan keperluan-keperluan asas kearah pembentukan, pemupukan dan penggerakan idea ini.

Katanya Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa dalam usaha mencapai keamanan global, amat kritikal bagi semua pihak untuk bersama-sama menangani cabaran yang ditampilkan oleh kumpulan ekstrem.

"Pihak sederhana ini perlu memiliki moral yang tinggi dan menyisih kumpulan ekstrem serta pengganas," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ke-17 Asean dan Sidang Kemuncak berkaitan di sini Sabtu.

Beliau berkata sepanjang EAS hari ini, pemimpin-pemimpin Asean juga bersetuju untuk menyertakan dua kuasa utama dunia, iaitu Russia dan Amerika, ke dalam EAS.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Asean memutuskan untuk menjemput pemimpin dari kedua-dua negara itu secara rasmi untuk mengambil bahagian dalam EAS ke-6 di Indonesia tahun depan, dan pemimpin-pemimpin itu turut mengulangi sokongan kuat mereka terhadap penumpuan Asean dalam EAS.

EAS ke-5 sebelum ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung, dan ia dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan negara anggota Asean, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Sidang Kemuncak itu dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton serta Menteri Luar Russia Sergei Lavrov, sebagai tetamu istimewa.

Najib berkata pemimpin-pemimpin Asean juga menyambut baik sokongan peserta-peserta EAS kepada Pelan Induk Asean Connectivity, dan menggalakkan mereka untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelaksanaan pelan induk itu.

Perdana Menteri berkata masih ada ruang untuk kerjasama keselamatan tenaga serantau yang lebih besar, dan ini termasuk usaha meningkatkan perkongsian awam-swasta dalam pembangunan sumber tenaga alternatif seperti tenaga hijau.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan kerjasama lebih rapat dalam bidang sains dan teknologi, termasuk perkongsian dan pemindahan teknologi yang berkaitan di antara negara-negara EAS yang mengambil bahagian.

"Dalam konteks ini Malaysia amat menggalakkan dan menyokong inisiatif oleh kerajaan Jepun untuk mewujudkan bidang Sains dan Innovasi Asia Timur," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau turut mengetengahkan keperluan mewujudkan kerjasama lebih rapat di kalangan universiti-universiti terbaik rantau ini menerusi mekanisma rangkaian kerja yang sama, untuk melahirkan Rangkaian Kerja Universiti-universiti Asean, bagi membaiki keseluruhan akses dan kualiti pendidikan peringkat tinggi, di samping menggalakkan hubungan antara rakyat.

Pada Sidang Kemuncak Ke-lapan Sidang Kemuncak Asean-India pula, Najib berkata Asean boleh memainkan peranan simbiotik, sebagai jambatan antara India dan negara-negara Timur.

Beliau berkata dengan Asean dan India berkongsi banyak matlamat bersama, kemungkinan untuk menampilkan kerjasama baru dan innovatif antara kedua-dua pihak dilihat cukup memberangsangkan.

"Malaysia sebagai negara penyelaras Asean-India FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas), menggesa kedua-dua pihak mengamalkan fleksibiliti dalam rundingan berhubung perkhidmatan dan pelaburan.

"Dalam perkara ini Asean perlu fleksible dalam menimbangkan penerimaan teks Movement of Natural Persons, dan pada masa yang sama India juga perlu turut sama fleksible dalam menerima 'Annex on Financial Services'," katanya.

Najib juga berkata Malaysia menghargai hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama antara Asean dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan menegaskan bahawa kerjasama antara Asean dan agensi-agensi PBB perlu dipadukan di bawah payung Sidang Kemuncak itu.

"Malaysia juga menyuarakan kepentingan dalam penyediaan makanan yang berkhasiat buat kanak-kanak bagi mewujudkan asas kukuh dalam pembentukan anak-anak muda," katanya.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Asean turut menggesa PBB membantu rantau ini dengan menyiapkan inisiatif Matlamat Pembangunan Millennium (MDG) dan dalam menangani cabaran global, terutama yang berkaitan dengan keselamatan tenaga, perubahan iklim dan epidemik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain