suria

Lumba Haram: 112 Mat Rempit Termasuk Tiga Remaja Perempuan Ditahan

BUKIT GAMBIR: Polis menahan 112 Mat Rempit, termasuk tiga remaja perempuan berusia lingkungan 16 dan 20 tahun, dalam satu operasi khas membanteras kegiatan lumba haram di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, operasi pada 2 pagi itu berjaya mengagalkan satu penganjuran lumba haram yang dirancang oleh sekumpulan Mat Rempit di kawasan ini.

"Terdapat di antara mereka yang cuba melarikan diri dengan melawan arus jalan raya, tetapi polis berjaya menahan mereka dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan motosikal juga telah tamat tempoh", katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata sejumlah 74 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan, manakala 73 motosikal disita kerana kesalahan tidak memiliki lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Wan Aziz juga berkata turut ditahan ialah seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, polis akan meneruskan operasi mengejut itu dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan lumba haram di Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain