suria

Jenazah Tujuh Mangsa Kemalangan Bas Di Genting Sempah Selamat Dikebumikan

BALING: Jenazah tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancong di KM38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur lewat petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru di sini Sabtu.

Sebelum itu jenazah yang sudah siap dikapankan tiba di Masjid Al-Falah Kampung Pokok Setol, Siong pukul 2.20 petang dengan tujuh van jenazah dan kemudian disembahyangkan di masjid itu sebelum dikebumikan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, Anggota Dewan Undangan Negeri Bayu Azmi Che Husain dan Setiausaha Persatuan Alumni 4B Malaysia Datuk Jamaluddin Abdul Rahim.

Hujan lebat yang turun tidak menjejaskan urusan pengkebumian tujuh jenazah itu iaitu guru agama Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, dan enam yang lain iaitu Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13; Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14; Mohamad Yussof Akhil, 16; Mohamed Firdaus Rosedi, 16; Mohd Fahmi Mustaffa, 17; dan Mohd Ridzuan Husin, 17.

Dalam kejadian pukul 7.50 petang semalam, bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Ahmad Bashah ketika ditemui pemberita di pekarangan Masjid Al-Falah mengumumkan Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah menyumbang RM1,000 kepada setiap keluarga yang meninggal dunia bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Sementara itu, Jamaluddin berkata pihak Persatuan Alumni 4B Malaysia menyumbang RM500 kepada setiap keluarga yang kehilangan anak mereka dalam kejadian itu.

Azmi pula berharap keluarga terbabit bersabar dan berharap ada pihak-pihak tertentu akan membantu mencari penyelesaian undang-undang berkaitan kemalangan yang berlaku itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain