suria

BN Terbukti Mampu Laksana Pembangunan Untuk Rakyat - Muhyiddin

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah penting bagi pengundi di Batu Sapi memilih calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili kerajaan, kerana parti itu terbukti mampu melaksanakan pembangunan untuk faedah rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak mampu melakukan apa-apa kerana mereka bukan mewakili kerajaan.

"Pilihlah calon yang ada kuasa iaitu dari BN. Kalau Yong menang, dia tidak mampu berbuat apa-apa, begitu juga calon PKR Ansari Abdullah.

"Beri kepercayaan kepada Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calon BN, bagi meneruskan tugas membela nasib rakyat yang belum diselesaikan oleh suaminya (mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah)," katanya pada majlis Mesra Rakyat Bersama Penduduk Kampung Tronglit di Pulau Timbang dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata Tsen merupakan calon BN yang mewakili kerajaan negeri dan persekutuan, dan ini akan memudahkan pelaksanaan lebih banyak pembangunan di Batu Sapi pada masa akan datang.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar masih banyak perkara perlu dilakukan untuk membantu rakyat di kawasan luar bandar, terutama berkaitan kemudahan asas sepeti bekalan air dan elektrik.

Beliau berkata kedua-dua perkara itu diberi perhatian utama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan merupakan perkara pokok dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, sewaktu Najib menjadi Perdana Menteri, beliau tidak memikirkan soal lain tetapi kepentingan rakyat terutama di kawasan luar bandar, supaya tidak terabai dan tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara.

Muhyiddin berkata calon SAPP iaitu Yong, merupakan pemimpin zaman dahulu dengan memperjuangkan isu Sabah untuk Rakyat Sabah.

Beliau berkata Sabah memang untuk orang Sabah, namun negeri itu juga adalah sebahagian daripada Malaysia.

Katanya, pada masa ini, orang Sabah bukan setakat menjadi pemimpin di negeri itu, malah sudah ramai yang mengisi jawatan penting di peringkat negara, termasuk menganggotai kabinet. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain