Batu Sapi: Ia Lebih Kepada BN Lawan SAPP - Pemerhati Politik

SANDAKAN: Walaupun pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi adalah pertandingan tiga penjuru di antara dua nama besar dalam politik dan seorang balu yang sedang berkabung, ramai pemerhati politik melihatnya sebagai pertarungan di antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ini kerana kata mereka, BN dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang juga calon parti itu, memberi sepenuh usaha untuk memikat pengundi Cina dan Bumiputera.

BN yang meletakkan harapan pada Datin Linda Tsen Tahu Lin, balu kepada penyandang Datuk Edmund Chong Ket Wah, berhasrat memperolehi sokongan 40 peratus pengundi Cina dan lebih 60 peratus pengundi Bumiputera.

SAPP pula mensasarkan sokongan lebih 70 peratus pengundi Cina dan sekurang-kurangnya 30 peratus undi Bumiputera bagi merampas kerusi itu daripada BN.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya jumlah undi yang diperolehi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah akan menentukan sama ada BN atau SAPP yang memenangi pilihan raya kecil itu.

"Jika Ansari memperolehi lebih daripada 1,500 undi, itu bermakna BN akan mengekalkan kerusi, tetapi jika kurang daripada itu, ia akan memberi kelebihan kepada Yong," kata seorang pemerhati politik.

Sementara itu, sumber BN berkata berdasarkan pengiraan mereka, PKR akan 'mencuri' sebahagian undi Cina menerusi rakan sekutu dalam pakatan pembangkang iaitu DAP yang mempunyai sekitar 1,500 anggota di kawasan tersebut.

Penilaian mereka berasaskan majoriti daripada 15,009 Bumiputera Muslim yang terdiri daripada Bajau, Suluk, Sungai, Bugis dan keturunan Melayu Brunei akan terus menyokong BN.

Bagaimanapun untuk memastikan kemenangan, BN memerlukan sekurang-kurangnya antara 70 hingga 80 peratus undi Bumiputera Muslim bagi mengimbangi sebarang pengurangan dalam undi Cina.

"Tetapi ini bukan suatu yang mudah. Kami menjangkakan majoriti anggota DAP di kawasan ini akan mengundi Yong kerana beliau seorang tokoh yang popular.

"Satu lagi masalah ialah pengundi Cina di kawasan ini adalah sebahagian daripada Sandakan dan mereka berkemungkinan besar dipengaruhi oleh masyarakat Cina di Sandakan.

"Anda harus ingat, pada pilihan raya lepas, calon Bebas berjaya memperolehi jumlah undi yang agak besar daripada kaum Cina," kata seorang pemimpin MCA tempatan.

Dalam pada itu, PKR pula melihat pilihan raya kecil ini sebagai pertandingan antara pakatan pembangkang dan BN kerana keputusannya akan mengukuhkan lagi kedudukan pakatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah pertandingan antara pakatan dan BN. SAPP tidak penting dalam pilihan raya kecil ini. Ia terlalu kecil," kata Ansari.

Sama ada benar atau tidak, ia hanya dapat dipastikan apabila peti undi dibuka pada 4 November ini.

Bagaimanapun sesetengah penganalisis politik bersetuju, sama ada ia pertandingan antara BN-SAPP atau BN-Pakatan, pilihan raya kecil ini sememangnya mencabar bagi semua yang bertanding.

"Sukar untuk dikatakan buat masa ini tetapi saya masih percaya BN mempunyai kelebihan mengekalkan kerusi, setidak-tidaknya di atas kertas. Kita tidak tahu apa yang boleh dibawa SAPP pada pilihan raya kecil ini," kata Rizal Idris, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Bagi saya keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi kad laporan mendiang suami Linda Tsen bagi tempoh dua tahun lepas, iaitu penilaian prestasinya di kawasan ini," katanya.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih dan 1,535 daripadanya adalah pengundi pos. Chong memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,708 undi menentang calon Bebas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Artikel Lain