suria

SIS Berjaya Batal Saman Dewan Pemuda Masjid

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Sis Forum (Malaysia) membatalkan saman pemula yang difailkan Dewan Pemuda Masjid Malaysia bagi melarang pertubuhan itu menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan organisasi.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Sis Forum dan peguam Mohd Ibrahim Mohd yang mewakili Dewan Pemuda Masjid.

Malik Imtiaz memberitahu pemberita bahawa Zabariah membenarkan permohonan pihaknya setelah mendengar hujah kedua pihak dan berpendapat pihak plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Sementara itu peguam Mohd Ibrahim Mohd yang mewakili Dewan Pemuda Masjid berkata pihaknya akan memfailkan rayuan atas keputusan itu.

Pada 22 Mac lalu, plaintif memfailkan saman pemula itu bagi menuntut satu perisytiharan bahawa nama organisasi tersebut yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam.

Dalam saman itu pemohon memohon satu perintah bahawa responden tidak dibenarkan dan dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan yang menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.

Selain itu, pemohon turut memohon perintah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden.

Ia turut memohon supaya responden dihalang daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama tersebut sehingga responden dibenarkan secara sah di sisi undang-undang selain kos dan perintah lain yang perlu. -BERNAMA

Artikel Lain