suria

Sektor Pertanian Jangka Jana 75,000 Peluang Pekerjaan

MELAKA: Penekanan sektor pertanian dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dijangka menjana 75,000 peluang pekerjaan termasuk dalam bidang perniagaan.

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata graduan bidang pertanian harus merebut peluang itu dan menjadi 'pemain' industri yang utama.

"Graduan harus membawa perubahan baru dalam era pertanian untuk meraih kekayaan semaksimum mungkin," katanya pada perasmian konvokesyen pertama Institut Skill-Tech, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keusahawanan kementerian, Datuk Ghafar Musa. Mengenai institut itu, Mukhriz berkata dana sebanyak RM2.4 juta telah diberikan sejak 2008 melalui Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia bagi melatih graduan dalam sektor pertanian.

Sejak 2008, seramai 600 graduan menyertai program 'Usahawan Trampil' yang menyaksikan 300 berjaya bergelar usahawan muda tani, sementara selebihnya dalam proses memulakan perniagaan.

Pada majlis konvokesyen itu seramai 550 graduan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia dalam tujuh bidang pertanian antaranya penyeliaan ladang, tanaman makanan dan senibina landskap.- BERNAMA

Artikel Lain